Calon MCA N.27 Balakong, Tan Chee Teong berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Calon MCA di Bilik Operasi MCA Balakong Cheras, Selangor. foto IQBAL BASRI, 19 OGOS 2018

SERI KEMBANGAN – Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Tan Chee Teong menawarkan empat janji utama dalam manifestonya hari ini.

Ujarnya, kepentingan rakyat di Balakong akan menjadi keutamaan beliau dalam mentadbir kawasan ini sekiranya beliau dilantik menjadi ADUN.

“Saya akan menjadi pembangkang yang semak dan imbang kepada kerajaan negeri Selangor bagi mencegah gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran negeri,” katanya dalam sidang media sempena majlis pelancaran manifesto MCA di bilik gerakan parti itu hari ini.

Antara lain, Chee Teong berjanji akan memastikan kerajaan PH menunaikan janji-janji PRU14 dan tidak membuat pusingan U.

Malah beliau juga akan memastikan PH berhenti memberikan mencari alasan untuk menipu rakyat dan mendesak agar kerajaan segera menunaikan janji mereka.

“Saya akan menjadi suara penduduk Balakong, memastikan pembangunan kawasan ini dan memantau kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu-isu yang dihadapi penduduk.

“Saya akan membantu MCA melaksanakan transformasi, meninggalkan beban yang lama, dan merangka hala tuju politik baharu demi menyumbang kepada rakyat dan negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Chee Teong yang juga Ahli Jawatankuasa MCA Bahagian Serdang turut akan membawa 5 isu teras antaranya isu jalanraya, sistem perparitan, keamanan dan keselamatan, pelupusan sampah dan pengangkutan awam sebagai isu teras dalam siri kempen selama 21 hari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengisytiharkan PRK Balakong menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) dan MCA.

Chee Teong mewakili MCA sementara Naib Ketua Wanita DAP Bahagian Serdang, Wong Siew Ki pula mewakili DAP.

PRK Balakong diadakan ekoran kekosongan kerusi itu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri, Eddie Ng dari DAP meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 9 Mei lalu, Eddie mengatasi calon Barisan Nasional dari MCA, Lim Chin Wah dan calon Pas, Mohamad Ibrahim Ghazali dengan majoriti undi 35,538. -MalaysiaGazette