Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin (tengah) bercakap pada sidang media Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) bertempat di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 20 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Tun Daim Zainuddin tidak berminat untuk menyertai kabinet semula walaupun ketika ini hanya Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja yang mempunyai pengalaman sebagai menteri.

Menurut bekas Menteri Kewangan sebanyak dua kali itu, Pakatan Harapan memiliki pemimpin-pemimpin berkelayakan sebagai menteri meskipun tidak mempunyai pengalaman.

“Tak payahlah. Kita ada pemimpin-pemimpin berkelayakan pada masa ini walaupun tidak pernah menjadi menteri.

“Rakyat kena sabar dalam hal ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan beliau kembali semula ke kabinet sekiranya diminta oleh Perdana Menteri.

Ketika ditanya mengenai kementerian manakah yang perlu meningkatkan urustadbir, Daim menjawab, Kementerian Kewangan.

“Kementerian Kewangan paling penting kerana tugasnya adalah membawa masuk duit (ke kantung kerajaan) dan memastikan wang-wang tersebut dibelanjakan dengan bijak.
“Mereka juga tidak boleh mempolitikkan penjawat awam,” katanya.

Menjawab persoalan yang sering berlegar dalam kalangan rakyat mengenai penubuhan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dianggap melanggar perlembagaan tetapi mempunyai kuasa yang sangat besar, Daim dengan tegas menafikannya.

“Kami mengumpul maklumat, melakukan analisa dan menyuarakannya (mengemukakan cadangan).

“Bagaimana kami dikatakan mempunyai kuasa yang besar? Apa kuasa yang kami ada?

“Mengenai tidak berpelembagaan kerana kami bukan ahli Parlimen, kami hanya memberi nasihat.

“Perdana Menteri boleh melantik sesiapa sahaja sebagai penasihat. Sama seperti Majlis Tindakan Ekonomi Kebangsaan (NEAC), ia ditubuhkan pada 1998 untuk memberi nasihat dan dibubarkan apabila tugas selesai,” katanya lagi.

Ketika ditanya pendapat beliau mengenai siapakah bakal menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad, Daim menyebut nama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pakatan Harapan telah membuat keputusan Anwar akan jadi Perdana Menteri selepas ini,” katanya sambil menafikan beliau terlibat di dalam konspirasi menggagalkan hasrat Presiden PKR itu untuk menggantikan Mahathir. -MalaysiaGazette