Projek ECRL sepanjang 688 kilometer itu akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan Pantai Timur melalui rangkaian perkhidmatan kereta api yang melalui Pelabuhan Klang, Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Jelawat di Bachok dan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat.

MARANG – Kerajaan Terengganu berharap bahawa kerajaan Persekutuan mempertimbangkan semula pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur  (ECRL) kerana ia akan menjejaskan perkembangan ekonomi negeri ini.

Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar yang mengetahui mengenai pembatalan itu menerusi media massa berkata, ketika ini proses awal seperti membina laluan, stesen, terowong, jambatan telahpun dilakukan termasuk proses pengambilalihan tanah.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis korban perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, di Kampung Rhu Muda, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek usahasama dengan kerajaan China dan akan cuba mencari jalan penyelesaian tanpa perlu membayar pampasan yang tinggi kepada pihak yang terlibat dalam projek berkenaan.

Projek ECRL yang dicadangkan pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum itu mencetuskan kontroversi berikutan kosnya yang mencecah hingga RM70 bilion.

Mengikut perancangan, laluan sepanjang 688 kilometer itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Pantai Barat dengan Pantai Timur melalui Kuantan, di Pahang dan berakhir di Pengkalan Kubor di Kelantan.- MalaysiaGazette