Jho low
Low Taek Jho

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan notis merah kepada polis antarabangsa (Interpol) bagi mengesan dan menangkap dua individu iaitu Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya, Low Hock Peng.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tindakan itu menyusul selepas pihaknya berjaya memperolehi waran tangkap dari Mahkamah Putrajaya untuk mencekup kedua-dua individu yang sangat dikehendaki dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Permohonan Red Notice (Notis Merah) daripada Interpol akan dikemukakan untuk mengesan dan menangkap kedua dua individu itu untuk membawa pulang bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah Malaysia,” katanya dalam kenyataan terbaharu hari ini.

Tambah beliau, Jho Low,37, dan Low Hock Peng, 56 terdahulu telah dituduh di Mahkamah Putrajaya pada 24 Ogos 2018, Jumaat.

Ujarnya, Jho Low menghadapi lapan pertuduhan manakala Hock Peng (1 pertuduhan) dan hasilnya waran tangkap diperolehi untuk memburu kedua-dua suspek yang masih bebas di luar.

Terdahulu katanya, Polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah menjalankan siasatan terhadap syarikat 1MDB atas pelbagai kesalahan jenayah melibatkan transaksi kewangan dan urusniaga yang dijalankan oleh syarikat berkenaan.

“Hasil siasatan polis telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan keputusan telah dibuat untuk mengenakan pertuduhan terhadap kedua dua individu itu mengikut Seksyen 4(1) Akta pencegahan pengubahan wang haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) sebelum di,” tegasnya. – MalaysiaGazette