Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membela Dr. Mahathir Mohamad dengan menegaskan bahawa semua menteri dibenarkan untuk melontarkan pendapat dalam mesyuarat Kabinet.
Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membela Dr. Mahathir Mohamad dengan menegaskan bahawa semua menteri dibenarkan untuk melontarkan pendapat dalam mesyuarat Kabinet.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membela Dr. Mahathir Mohamad dengan menegaskan bahawa semua menteri dibenarkan untuk melontarkan pendapat dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau berkata, semangat berpasukan dititik berat dalam Kabinet Pakatan Harapan dan semua isu diberi ruang secukupnya untuk dibincangkan.

Berkenaan kritikan MCA bahawa Dr. Mahathir mengekalkan sikap autokratiknya dalam pentadbiran negara, Dr. Wan Azizah memberikan ulasannya secara berseloroh.

“MCA…Berapakah kerusi yang ia masih ada?” katanya menyindir kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya 2013.

Dalam wawancara dengan China Press, Dr. Wan Azizah  juga mengulas mengenai penyerahan tugas Perdana Menteri oleh Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri wanita pertama itu yakin Dr. Mahathir tidak akan mungkir janji, tetapi akan mematuhi persetujuan yang telah wujud dalam Pakatan Harapan.

“Persetujuannya ialah Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan saya timbalannya sebelum penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar,” katanya mengulas pandangan penganalis bahawa Dr. Mahathir tidak akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Anwar.

Dalam perkembangan berlainan, Dr. Wan Azizah mendedahkan, sebanyak 1,320 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pada tiga bulan pertama 2018.

Daripada jumlah kes tersebut, 973 mangsa merupakan wanita dan 347 ialah lelaki.

Selangor mencatatkan kes keganasan rumah tangga tertinggi sebanyak 228 kes, diikuti Johor (164), Kedah (143) dan Sarawak (131).

Majoriti atau sebanyak 427 kes membabitkan mangsa yang berumur antara 26 hingga 35 tahun. – MalaysiaGazette