Nurul Izzah digelar Puteri Reformasi oleh pejuang Anwar Ibrahim.
Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar membantah pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu dalam rundingan damai wilayah selatan Thailand.

Puteri sulong Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyifatkan Abdul Rahim telah bertindak menyerang secara ganas terhadap bapanya yang ketika itu ditahan dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup selain dibiarkan tanpa rawatan perubatan berhari-hari.

“Dia juga telah berbohong kepada seluruh dunia tentang di mana mangsa dan keadaannya ketika itu.

“Mereka yang mempersendakan perkara ini sepatutnya berasa malu,” katanya di laman Twitter hari ini.

Kenyataan Nurul Izzah itu merujuk kepada insiden mata lebam yang membawa kepada penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kecederaan yang dialami Anwar ketika dalam tahanan sel Bukit Aman dan membawa kepada pengakuan Abdul Rahim bahawa beliau telah menumbuk bekas timbalan perdana menteri itu.

Abdul Rahim ketika memberi keterangan berkata, beliau ”hilang sabar dan pertimbangan” dan seterusnya memukul Anwar selepas Anwar memprovokasinya dengan kata-kata ”Ni bapak anjing” kepada Rahim.

Kejadian tersebut berlaku pada 20 September 1998.

Abdul Rahim, 75, dilantik menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang sebelum ini dilantik kerajaan Malaysia pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi fasilitator rundingan damai tersebut antara MARA Patani dan kerajaan Thailand.

Abdul Rahim menyifatkan tugas itu mencabar kerana membabitkan isu pertelingkahan yang lama namun belum mencapai persetujuan yang konkrit. – MalaysiaGazette

Rahim Noor dilantik fasilitator rundingan selatan Thailand