Friday, April 19, 2024
Home Utama Remaja ‘hilang’ di Cheras jumpa di Seremban

Remaja ‘hilang’ di Cheras jumpa di Seremban

Farah Amani bersama ibunya selepas ditemui hari ini di Seremban selepas hilang di rumahnya di Cheras kelmarin.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang dari rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn di Cheras kelmarin sudah ditemui di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Difahamkan, Farah Amani Mohammad Fauzi ditemui dalam keadaan selamat dan sihat.

Remaja itu selamat kembali ke pangkuan keluarga setelah dimaklumkan oleh pihak Balai Polis Sikamat, Jalan Desa Rhu, Seremban pada jam 11.50 pagi tadi.

Beliau telah dijemput oleh ibu bapa kira-kira 12 tengahari dan sudah kembali ke kediaman mereka di Bandar Tun Hussien Onn.

Difahamkan, punca kehilangan remaja berkenaan masih belum diketahui.

Kelmarin, Farah Amani disedari hilang selepas ibunya mendapati remaja tingkatan tiga itu tidak ada dalam biliknya ketika ingin mengejutkan untuk solat subuh kira-kira pukul 6 pagi.

Bapanya, Mohammad Fauzi Abd. Wahab, 46, pula melihat kali terakhir anak bongsu daripada dua beradik itu dilihat kira-kira pukul 11 malam sebelum dia masuk ke bilik untuk tidur.

“Kami cuba menghubungi telefon bimbitnya namun tidak diangkat. Bagaimanapun, petang tadi kira-kira pukul 5 petang tadi dia ada menghantar mesej menerusi Instagram kepada ibunya.

“Dia memaklumkan berada di hadapan kedai serbaneka di Taman Seremban Putra, Seremban di Negeri Sembilan serta kelaparan. Namun apabila kami cuba menelefonnya, panggilan itu tidak dijawab,” katanya berdasarkan laporan Utusan Malaysia semalam.

Tambah Mohammad Fauzi, susulan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Tun Hussein Onn dekat sini.

Sementara itu, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff mengesahkan menerima laporan itu dan usaha mengesan remaja terbabit giat dijalankan.-MalaysiaGazette