KUALA LUMPUR – Filem Munafik 2 mencipta rekod apabila mencapai kutipan luar biasa untuk tayangan awal di pawagam semalam.

Filem arahan Syamsul Yusuf itu merupakan filem tempatan yang menerima kutipan tertinggi untuk tayangan awal iaitu sebanyak RM2.05 juta.

Kutipan tersebut sekali gus memadamkan rekod yang dicatatkan oleh Hantu Kak Limah pada awal bulan ini iaitu sebanyak RM650,000.

Penerbit Skop Production iaitu Datuk Yusof Haslam berkata, kutipan tersebut merangkumi tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Untuk rekod, filem Munafik yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta.

Filem terbitan Skop Productions dan President Productions ini menelan belanja sebanyak RM2.9 juta. – MalaysiaGazette