Wong Siew Ki
Wong Siew Ki

KUALA LUMPUR – Calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki mengakui pemansuhan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pengenalan cukai soda akan memberi kesan kepada partinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong ini.

Beliau berkata, ramai pengundi dikawasannya menyatakan kebimbangan mengenai pengumuman kerajaan terhadap kedua-dua isu membabitkan kos sara hidup rakyat itu.

“Apa yang jelas, saya boleh memberi jaminan bahawa kerajaan PH tidak akan membiarkan rakyat merana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media PRK Balakong di Philea Mines Beach Resort, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Adlif Syan Abdullah memberitahu, pemansuhan BR1M dan pengenalan cukai soda tidak mampu menggerunkan jentera PH dalam berdepan PRK Balakong dan Seri Setia yang akan berlangsung secara serentak pada 8 September ini.

Dalam pada itu Siew Ki memberitahu, meskipun elaun sara hidup bakal dikurangkan secara berperingkat namun, kerajaan akan memastikan taraf hidup penduduk meningkat.

Malah, beliau juga tidak gerun untuk berdepan dengan PRK susulan langkah pengumuman kerajaan terhadap perkara tersebut.

“Tidak, perkara ini bukanlah menyusahkan rakyat sebaliknya, untuk mengurangkan hutang negara yang sudah mencecah lebih RM1 trilion,” ujarnya.

Katanya, beliau menyambut baik cadangan kerajaan untuk mengkaji semula BR1M dan hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak. – MalaysiaGazette