Azam Baki
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki menunjukkan wang kertas yang dirampas pada sidang media khas mengenai siasatan penyelewengan dana kerajaan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 30 OGOS 2018

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai berjumlah RM35.4 juta berhubung kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Wang tunai itu diperolehi susulan penahanan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, wang tersebut ditemui daripada enam buah kondominium di sekitar Kuala Lumpur dan Cyberjaya, termasuk pejabat suspek yang telah ditahan.

“Kami percaya jumlah keseluruhan wang ialah RM49.3 yang telah dibawa masuk ke negara ini sejak tiga bulan lalu daripada sebuah negara untuk kegunaan kerajaan.

“Ingin saya jelaskan bahawa wang ini diklasifikasikan sebagai milik kerajaan kerana ia diuruskan oleh pegawai-pegawai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian berhubung kes itu pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Azam berkata, sehingga kini seramai sembilan orang telah ditahan dan 20 orang saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan termasuk tiga orang saksi dari luar negara.

“Saya juga ingin mengesahkan SPRM telah menangkap seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun di Kelantan semalam.

“Lelaki ini mempunyai status penduduk tetap di United Kingdom dan sering berulang alik ke negara ini,” ujar beliau.

Katanya, Mahkamah Majistret di sini hari ini telah mengeluarkan perintah reman tujuh hari setelah ahli perniagaan itu ditahan di Kelantan pada pukul 11 malam tadi.

Semalam, Hasanah direman lima hari, sehinga Ahad ini, bagi membantu siasatan kes salah guna wang peruntukan dana kerajaan.

Hasanah ditahan kerana disyaki terlibat bersama tujuh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), termasuk timbalan ketua pengarah bergelar Datuk, yang menyalahgunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.

Wanita itu ditahan pada pukul 4.45 petang selepas hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada Selasa lalu.

Kelmarin, Mahkamah Majistret yang sama turut mengeluarkan perintah reman selama lima hari sehingga Sabtu ini terhadap tujuh pegawai PTD berkenaan.

Menurut sumber, kesemua suspek masing-masing menjawat Gred 44 sehingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, Azam menggesa sesiapa, termasuk penjawat awam, yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan atau tahu lokasi wang tunai tersebut disimpan tampil ke hadapan dan SPRM berjanji akan meletakkan mereka di bawah perlindungan saksi.

Ini termasuk mereka yang mungkin menyimpan wang tersebut, katanya. – MalaysiaGazette