Wajah tunang baharu Elfira Loy, Faris Khairol Anuar.

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh bulan putus tunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi, pelakon Elfira Loy selamat mengikat tali pertunangan kali kedua, semalam.

Difahamkan, majlis merisik dan bertunang itu diadakan secara tertutup di kediamannya di Alam Damai, Cheras di sini.

Hubungan Elfira, 24, dengan jejaka dikenali Faris Khairol Anuar itu mula dihidu beberapa bulan lalu apabila dia memuat naik foto bersama di laman Instagramnya.

Faris, 27, dilaporkan seorang pengurus besar di sebuah syarikat telekomunikasi dan anak seorang Datuk.

Sementara itu, majlis tersebut yang dihadiri oleh beberapa artis yang juga rakan baik Elfira berlangsung secara tertutup dan rahsia.

Elfira juga gagal dihubungi bagi mendapatkan pengesahan tentang majlis tersebut dan tidak memuatkan apa-apa status di laman Instagramnya.

Sebelum ini, Elfira pernah bertunang dengan Sufian Suhaimi pada 6 Oktober tahun lalu dalam sebuah majlis pertunangan besar-besaran namun berakhir pada 18 Februari lalu. – MalaysiaGazette