Husam Musa
Husam Musa

KUALA LUMPUR – Walaupun merupakan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa tidak memandang peranannya sebagai Senator hanya menumpukan pembangunan di Kelantan sahaja. 

Sebaliknya Naib Presiden Parti Amanah Megara (PAN) itu memberi jaminan untuk terus komited memberi pandangan dan cadangan yang bernas bukan sahaja daripada aspek pembangunan tetapi juga ekonomi negara. 

“Untuk melipatgandakan pembangunan ekonomi negara bagi memenuhi aspirasi sebahagian besar rakyat negara menggunakan kesempatan ini untuk memberikan sumbangan, pandangan dan buah fikiran.

“Saya tidak nampak pelantikan saya hanya terhad di negeri Kelantan dalam konteks peranan. Seorang Senator ialah untuk memberikan pandangan, buah fikiran dalam konteks kepentingam negara secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas dilantik sebagai Senator hari ini. 

Husam turut berharap kerajaan persekutuan tidak meminggirkan negeri-negeri yang masih ketinggalan seperti Perlis, Terengganu dan Pahang selain Kelantan yang pada pendapatnya menawarkan potensi besar seperti mana yang dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

“Bagi negeri Kelantan dan negeri-negeri yang ketinggalan termasuk Perlis, Terengganu, Pahang saya berharap kerajaan baharu iaitu Pakatan Harapan tidak meminggirkan negeri-negeri ini dalam arus pembangunan negara,” ujar beliau. – MalaysiaGazette