Pendirian Pakatan Harapan dan PKR untuk menghapuskan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 tidak pernah berubah, tegas Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye, walaupun Perdana Menteri mempunyai pandangan berbeza.
Pendirian Pakatan Harapan dan PKR untuk menghapuskan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 tidak pernah berubah, tegas Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye, walaupun Perdana Menteri mempunyai pandangan berbeza.

KUALA LUMPUR – Pendirian Pakatan Harapan dan PKR untuk menghapuskan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 tidak pernah berubah, tegas Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye, walaupun Perdana Menteri mempunyai pandangan berbeza.

Boon Chye yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, parti-parti komponen Pakatan Harapan justeru perlu berbincang dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa OSA perlu dikekalkan.

Bertentangan dengan kenyataan Dr. Mahathir, Boon Chye berkata, dokumen-dokumen rasmi kerajaan melainkan yang membabitkan dokumen sulit pertahanan harus dibuka kepada tatapan orang ramai.

“Pada masa ini, perbincangan mesyuarat Kabinet dan dokumen sensitif pertahanan adalah sulit.

“Selain itu, mana-mana dokumen akan menjadi rahsia jika dicapkan sebagai dokumen rahsia. Keadaan seperti ini sepatutnya tidak berlaku,” katanya kepada China Press.

Pengerusi DAP, Tan Kok Wai pula berkata, OSA telah disalah guna oleh kerajaan terdahulu.

Kok Wai tidak akan membantah jika OSA dikekalkan, tetapi beliau mahu akta itu dikaji semula secara sepenuhnya supaya tidak disalah guna untuk menentang musuh politik.

Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng bagaimanapun berpendapat, kenyataan Dr. Mahathir untuk mengekalkan OSA sebagai satu lagi “U-turn”.

“Nampaknya mereka (Pakatan Harapan) telah lupa akan apa yang pernah dicakap sendiri sebelum menerima jawatan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette