Mahkamah Majistret di sini, hari membenarkan permohonan pihak polis untuk menggali semula kubur jenazah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu.

KUALA LUMPUR – Isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di rumahnya Jun lalu direman tujuh hari bagi membantu siasatan kematian suaminya.

Turut ditahan bekas suaminya yang berusia 43 tahun.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd Ishak yang membenarkan tempoh reman sehingga Isnin depan.

Wanita yang bertugas sebagai Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kematian Nazrin yang diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut telah ditukar kepada kes bunuh hasil siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Nazri yang meninggal dunia pada 14 Jun lalu selepas terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur tingkat atas rumahnya di Lorong PJU 7/24A, Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din, yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa lemas dalam asap tebal, selain 30 peratus daripada tubuhnya melecur.

Sebelum ini, media memaklumkan kebakaran itu berpunca daripada telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau di sisi katil meletup semasa sedang dicas. – MalaysiaGazette