Baru Bian
Baru menunjukkan poster sebagai gimik pelancaran pelebaran jalan di Balakong

BALAKONG – Menteri Kerja Raya, Baru Bian menyokong langkah kerajaan yang akan menyiasat punca berlaku kelewatan pembinaan bahagian laluan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Menurut beliau, kementeriannya turut akan membantu dalam menyalurkan maklumat yang diperlukan bagi mempercepat proses siasatan.

“Kita sudah tahu beberapa bulan yang lalu, selepas saya mengambil alih portfolio ini. Saya sudah diberi maklumat awal mengenai kelewatan pembangunan di Sabah. Itu bukan satu perkara yang baru dan kita sedang kaji kenapa ia lewat.

“Saya setuju dengan Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad). Ini adalah satu projek yang sangat penting bagi kita di Sabah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baru berkata, kerajaan sememangnya perlu membina lebuh raya di Sabah dan Sarawak mengikut piawaian yang sepatutnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mahathir semalam apabila menyatakan kerajaan akan menyiasat perkara tersebut kerana wang pembinaan bagi projek itu telah disalurkan.

Menurut Perdana Menteri, pembinaan bahagian itu agak ketinggalan dan kerajaan akan siasat ke mana perginya wang yang banyak dan sepatutnya sudah menghasilkan kemajuan pembinaan yang ketara.

Dalam perkembangan sama, Baru berkata, beliau tidak mengetahui jumlah sebenar peruntukan yang telah dikeluarkan untuk membina lebih raya tersebut oleh kerajaan terdahulu.

Katanya, perkara itu hanya akan diketahui selepas siasatan mengenai dilakukan oleh kerajaan. – MalaysiaGazette

Kerajaan siasat mengapa kemajuan pembinaan Pan Borneo ketinggalan