SAO PAULO – Seorang wanita buta mendakwa seorang pemandu Uber meninggalkannya di tepi jalan di Rio de Janeiro minggu lalu selepas dia meminta merendahkan suhu pendingin hawa kereta yang dinaiki..

Nathalia Santos, 26, dari Rio yang menjalankan saluran YouTube popular mengenai kehidupannya sebagai wanita buta berkata, dia tidak dapat menentukan lokasinya selepas dikeluarkan dari kereta tersebut.

“Lelaki itu berhentikan keretanya dan melemparkan kata bahawa kebutaan adalah hukuman kepada saya,” kata Santos melalui Instagramnya sambil melahirkan kebimbangan tentang latihan pemandu-pemandu Uber ke atas penumpang yang kurang upaya.

Uber berkata, pemandu itu telah diharamkan daripada bekerja sebagai pemandunya.

“Syarikat tidak boleh menerima perlakuan seperti ini. Kami dukacita dengan insiden yang berlaku,” kata Uber dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun identiti pemandu itu tidak diumumkan kepada orang awam.

Insiden ini berlaku ketika Uber sedang membelanjakan peruntukan untuk keselamatan, dengan menjanjikan untuk membuka sebuah pusat keselamatan bernilai AS$60 juta di di Sao Paulo selepas beberapa insiden yang mana penumpang dan pemandu saling memberi ancaman.

Brazil memberi keuntungan kepada Uber dan merupakan pasaran kedua terbesar selepas Amerika Syarikat.

Santos berkata, Uber telah memohon maaf, tetapi tidak menawarkan apa-apa pampasan kewangan. – MalaysiaGazette