Dzulkefly Ahmad
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berucap pada majlis Perasmian Persidangan Saintifik Sains Kesihatan Bersekutu Ke-12 di Hotel Tanera, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 04 SEPTEMBER 2018.

BANGI – Kes penyakit tidak berjangkit dalam negara terus meningkat dan ia merupakan cabaran yang dihadapi oleh Sistem Kesihatan Malaysia pada masa kini. 

“Walaupun sering diberi pengiktirafan di peringkat antarabangsa ianya masih berdepan pelbagai isu dan cabaran. Antaranya termasuklah peningkatan beban penyakit berjangkit dan tidak, peningkatan harapan rakyat dan kekangan sumber. 

“Penyakit tidak berjangkit  terus meningkat di Malaysia menjadikan Malaysia negara yang mempunyai kadar tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN,” kata Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Saintifik Kesihatan Bersekutu Kali Ke-12 Tahun 2018.

Tambah beliau satu daripada empat rakyat Malaysia pada hari ini berisiko menghidap penyakit diabetis berdasarkan peningkatan setiap tahun yang konsisten. 

“National Helth Modbidity Survey (NHMS) telah menunjukkan bahawa diabetes berleluasa dalam kalangan dewasa berumur di lebih kurang 30 tahun di Malaysia telah meningkat daripada 8.3 peratus pada 1995 kepada 14.9 peratus pada 2006, 20.8 peratus pada 2011 dan 22.5 peratus pada 2015,” katanya.

Menurut beliau, setiap satu daripada dua rakyat Malaysia menghadapi masalah kolestrol tinggi. 

Sehubungan itu beliau berkata, peranan Profesion Sains Bersekutu (AHP) mustahak dalam meningkatkan promosi dan pencegahan seiring dengan kemajiran teknologi maklumat, inovasi dan penyelidikan. 

Persidangan Saintifik Kesihatan Bersekutu Kali Ke-12 yang akan tamat esok melibatkan lebih 350 anggota AHP daripada pelbagai fasiliti kesihatan, kerajaan dan swasta. – MalaysiaGazette