Lembaga Zakat Selangor
Lembaga Zakat Selangor (LZS)

KUALA LUMPUR – Golongan ulama memberi gambaran yang betul terhadap tanggapan sesetegah pihak berhubung tindakan memberi zakat kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) oleh Zakat Selangor.

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menjelaskan perkara itu berkata, langkah yang diambil oleh Zakat Selangor itu adalah bagi membebaskan belenggu LGBT daripada cengkaman dosa lain.

Katanya, beliau percaya bukan hasrat Zakat Selangor memberikan zakat atas sebab keterlibatan golongan LGBT dengan aktiviti songsang mereka sebaliknya ia sebagai langkah pembebasan diri daripada perhambaan.

“Tindakan Zakat Selangor Itu satu usaha yang baik. Bahkan jika diletakkan di bawah dakwah fi sabilillah juga boleh. Jangan kita salah faham.

“Berita tersebut tidak jelas. Walaupun itu isu di Negeri Selangor, saya percaya saya wajar membantu mereka dari disalahfahami oleh sesetengah pihak,” tulis beliau di Facebook.

Dr. Asri Zainul Abidin.
Dr. Asri Zainul Abidin.

Pandangan sama turut dilontarkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahaya apabila menjelaskan perkara itu dengan menggariskannya kepada dua bahagian iaitu pemberian terhadap permasalahan sosial dan masalah akidah.

Katanya, semua pihak tidak seharusnya gopoh dalam membuat andaian negatif berhubung isu berkenaan kerana langkah Zakat Selangor itu diambil melalui fatwa yang terhasil dari tafsiran perkataan al-Riqab” yg disebut oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran Surah Al-Taubah, ayat 60.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan media yang melapor perkara itu dengan memainkan isu tersebut tanpa memberi penghuraian terhadap pecahan-pecahan pemberian zakat.

“Nasihat saya bertaqwalah kepada Allah. Jangan semata-mata mengejar sensasi dan view yang tinggi; sanggup jadikan isu-isu agama sebagai topik yang membuka ruang kepada kritikan umum,” ujarnya.

Fathul Bari Mat Jahaya
Fathul Bari Mat Jahaya

Beliau turut mengingatkan netizen supaya membaca dan mengkaji sesuatu isu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang ulasan. – MalaysiaGazette