MICCI
Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Datuk Tan Cheng Kiat bercakap pada sidang media di Pejabat MICCI Mont Kiara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 05 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Kehadiran Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) semasa tempoh kritikal 100 hari selepas penubuhan kerajaan baharu telah membawa kestabilan terhadap ekonomi dan keamanan Malaysia.

Lantaran itu pemain-pemain industri berpendapat peranan lima tokoh ternama negara daripada pelbagai bidang itu hanya boleh ditamatkan apabila barisan Kabinet yang tidak mempunyai pengalaman dalam memimpin kementerian benar-benar mampu menjalankan tanggungjawab mereka sendirian.

Menyifatkan kerjasama di antara CEP dengan para menteri yang baharu dilantik sebagai hubungan pekerja senior dan pekerja baharu, Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Datuk Tan Cheng Kiat berkata, hubungan itu sangat penting demi memastikan Malaysia terus maju dan aman walaupun berlakunya perubahan rejim buat pertama kalinya dalam sejarah.

“Kerajaan baharu mempunyai terlalu banyak muka baharu kerana ini yang rakyat mahukan (ketika mereka mengundi) maka muka-muka ini membarisi barisan kabinet. Saya ada berjumpa dengan sesetengah menteri tersebut dan mereka adalah orang yang sangat professional, bijak dan mampu meningkat dengan cepat.

“Tetapi sebagai muka baharu pastinya mereka memerlukan bimbingan dan di sinilah CEP hadir untuk memberikan bantuan dan merekalah yang telah menciptakan kestabilan dan menanam keyakinan ketika tempoh penting tersebut.

“Sama seperti seorang pekerja yang baharu menyertai sesebuah syarikat, mereka memerlukan bimbingan daripada pekerja senior supaya mampu menjalankan tanggung jawab mereka dengan baik demi kemajuan syarikat.

“Ini antara peranan yang dijalankan CEP ketika ini dan perlahan-lahan tugas mereka akan diambil alih oleh menteri-menteri kabinet apabila mereka sudah bersedia dan mempunyai pengalaman untuk menerajui negara,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Cadangan-cadangan yang dibuat oleh Majlis Penasihat Kerajaan tidak akan didedahkan kepada orang awam, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pemain-pemain industri berpendapat peranan lima tokoh ternama negara daripada pelbagai bidang itu hanya boleh ditamatkan apabila barisan Kabinet yang tidak mempunyai pengalaman dalam memimpin kementerian benar-benar mampu menjalankan tanggungjawab mereka sendirian.

Tambah Cheng Kiat, peranan CEP telah terbukti berjaya apabila mampu mengelakkan impak negatif ketika berlakunya peralihan kerajaan ketika Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional yang telah lebih 60 tahun memimpin Malaysia.

Antaranya adalah dengan mengelakkan berlakunya kejatuhan pasaran saham dengan teruk pada hari pertama bursa dibuka selepas PRU14.

“CEP menyediakan pelan-pelan penting kepada kerajaan baharu.

“Mereka memang individu yang sangat hebat dan telah memberikan kestabilan segera kepada ekonomi contohnya pasaran saham. Walaupun pasaran saham jatuh selepas PRU yang lalu namun impaknya tidak seteruknya yang dijangkakan,” katanya lagi.

CEP yang ditubuhkan beberapa hari selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan sepatutnya telah dibubarkan selepas mandat mereka untuk menyediakan input dan cadangan kepada kerajaan tamat pada Ogos lalu.

Namun begitu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, CEP yang dianggotai oleh bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Pengerusi Petronas, Tan Sri Hassan Merican; taikun perniagaan Tan Sri Robert Kuok; dan pakar ekonomi terkenal Prof KS Jomo masih diperlukan walaupun tempoh 100 hari yang diberikan telah tamat.- MalaysiaGazette