Ahmad Yazid Othman
KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berharap suatu akta berhubung sabotaj ekonomi dapat segera digubal oleh kerajaan untuk mengekang tindakan pihak yang sengaja menggagalkan matlamat dasar negara demi kepentingan peribadi.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, akta tersebut kemudiannya perlu dikuatkuasakan melalui suruhanjaya khas yang bertanggungjawab memantau serta menyiasat mana-mana aktiviti yang didapati cuba melakukan sabotaj ekonomi.

“Suruhanjaya ini juga boleh bertindak sebagai badan siasatan yang menerima laporan daripada pihak awam, dan semakan kehakiman boleh dilakukan sekiranya orang awam tidak bersetuju dengan hasil penemuan suruhanjaya ini,” katanya selepas membentangkan kertas cadangan mengenai Penguatkuasaan Undang-undang Terhadap Penyalahgunaan Dasar Ekonomi dan Polisi Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, akta tersebut perlu diperkenalkan memandangkan jurang ekonomi dan pendapatan isi rumah antara kaum masih lagi luas.

Ahmad Yazid berkata, sebanyak RM674.4 bilion daripada RM1.1 trilion yang disediakan kerajaan untuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sejak 20 tahun lalu telah digunakan oleh IKS bumiputera namun ia hanya mampu menyumbang kurang daripada sembilan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Sumbangan yang kecil itu adalah akibat daripada kegagalan mengawal aktiviti sabotaj ekonomi, katanya.

“Kita telah menyerahkan kertas cadangan kepada pejabat Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

“MTEM tidak membuat draf untuk akta tersebut namun kita bersedia memberikan input tambahan kerana kita pernah mengemukakan cadangan ini pada tiga tahun lepas dalam satu seminar bersama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Selain itu, Ahmad Yazid berkata MTEM juga mahu kajian semula dibuat terhadap beberapa dasar nasional lain antaranya yang melibatkan penstrukturan gaji serta pengukuran kekayaan melalui pendapatan isi rumah, pekerjaan dan sektor, bukannya melalui pegangan ekuiti semata-mata.

Beliau berkata, langkah itu membolehkan tahap sebenar ketaksamaan yang dialami bukan saja bumiputera malah kaum lain dapat dikenal pasti di samping mencari penyelesaian bagaimana untuk memberi peluang ekonomi yang adil kepada semua pihak. – MalaysiGazette