Tan Sri Musa Aman
Musa Aman

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dijadual balik ke Sabah hari ini bagi mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga.

Beliau yang sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya sejak 21 Ogos lalu dijangka tiba di Kota Kinabalu, tengah hari ini.

The Star memetik sumber-sumber melaporkan, mereka tidak pasti jika pihak berkuasa akan menahan Musa berikutan spekulasi bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu mendapatkan kenyataannya berkaitan beberapa isu, termasuk siasatan membeli wakil rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menurut laporan itu, Musa telah memberi kenyataannya kepada polis berhubung dakwaan ugutan yang dibuat oleh Yang DiPertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Musa mempunyai masa sehingga Jumaat ini untuk mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat kawasan itu, atau beliau akan kehilangan kerusi tersebut.

Sepatutnya, tarikh akhir beliau angkat sumpah adalah pada 9 September ini tetapi disebabkan cuti panjang sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong yang jatuh pada hari Ahad, bermakna Isnin adalah hari kelepasan am dan Selasa pula cuti sempena Maal Hijrah.

Di bawah Perlembagaan Sabah, kerusi milik Musa akan diisytiharkan sebagai kosong jika beliau gagal mengangkat bersumpah dalam tempoh tiga bulan.

Di bawah Perkara 22 (2) Perlembagaan negeri, kerusi boleh diisytiharkan kosong oleh Dewan Undangan Negeri jika wakil rakyat yang baru dipilih gagal bersumpah dalam tempoh tiga bulan dari sidang pertama.

Sidang pertama selepas Pilihan Raya Umum 9 Mei diadakan pada 11 Jun.

Musa telah meninggalkan tanah air untuk ke London pada 14 Mei bagi mendapatkan rawatan.

Sumber berkata, Musa akan angkat sumpah di hadapan Speaker Datuk Syed Abas Syed Ali atau mana-mana dua timbalannya pada hari Khamis, sekiranya beliau tidak ditahan oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette