Ng Sze Han
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han pada sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam

SHAH ALAMĀ – Kerajaan Negeri Selangor masih menunggu keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan di negeri itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri bersedia menyokong cadangan itu sekiranya dimuktamadkan kelak.

“Menteri KPKT pernah menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk mengadakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan dalam tiga tahun.

“Jadi kerajaan negeri masih menunggu keputusan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Bagi kerajaan negeri, kami menyokong penuh pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan (Pakatan Harapan) yang meminta kerajaan negeri menyatakan hasrat untuk melaksanakan pilihan raya itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Banting, Lau Weng San mengenai pemansuhan Sekseyn 15 Akta Kerajaan Tempatan 1996 bagi membolehkan pilihan raya itu diadakan, Sze Han berkata kerajaan negeri tiada kuasa berbuat demikian.

“Untuk memansuhkan akta tersebut ia adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Bagaimanapun satu sesi bengkel telah diadakan di peringkat Kerajaan Persekutuan bersama semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Perbincangan masih dilakukan dan kami masih menunggu keputusan daripada KPKT,” katanya lagi. – MalaysiaGazette