engarah Jabatan Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Ruslan Tuan Mat bercakap kepada media pada majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Kinrara Oval Ground, Puchong, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2018.
Pengarah Jabatan Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Ruslan Tuan Mat bercakap kepada media pada majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Kinrara Oval Ground, Puchong, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memuji sikap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang enggan menerima hadiah sebagai tanda penghargaan yang diberikan kepadanya pada satu majlis, baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakatnya, Tuan Ruslan Tuan Mat berkata, Anthony menjadi contoh terbaik kepada penjawat awam lain kerana mematuhi Pekeliling Perkhidmatan Bil 3 Tahun 1998 berkaitan penerimaan hadiah.

”Walaupun tindakan Ahli Parlimen itu menjatuhkan air muka penganjur majlis, ia satu contoh yang baik kepada orang ramai.

“Sebagai ketua, beliau ada kuasa terima atau tolak hadiah atau cenderamata.

“Ini kerana sesiapa tidak kira penjawat awam atau swasta yang menerima hadiah, mereka perlu memaklum dan isytihar kepada ketua masing-masing.

“Selepas itu, terpulang kepada ketua mereka untuk membuat penilaian dan keputusan untuk terima atau tolak hadiah tersebut,” katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis menandatangani ikrar Tolak Rasuah antara Persatuan Kriket Malaysia dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di pejabat persatuan itu di Kinrara di sini hari ini.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Tuan Ruslan menyentuhkan polisi menerima hadiah dalam menjaga hati penganjur.

Baru-baru ini, Anthony menjadi viral apabila beliau enggan menerima hadiah sebagai tanda penghargaan yang diberikan kepadanya pada majlis pelancaran perkhidmatan e-hailing tempatan.

Semua itu dilakukan Anthony sebagai mematuhi dasar tidak terima hadiah yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Saya minta maaf tetapi saya tidak boleh terima ini,” tegasnya ketika diberikan dua telefon bimbit selepas pelancaran Diffride, perkhidmatan e-hailing baharu.

Awal Jun lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata menteri-menteri Kabinet kini tidak lagi boleh menerima hadiah di bawah dasar baharu yang dikuatkuasakan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Menurut Dr Mahathir, hadiah hanya dihadkan kepada bunga, makanan dan buah-buahan. – MalaysiaGazette