Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Lebih 118,000 hektar atau 5.21 peratus daripada kira-kira 2.3 juta hektar kawasan tanaman pekebun kecil kelapa sawit di negara ini sudah mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MOPB) sehingga Julai tahun ini, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Beliau berkata, keluasan tersebut merangkumi 105,751.06 hektar di bawah 56 kelompok pekebun kecil tersusun yang dikendalikan oleh agensi-agensi kerajaan seperti FELDA, FELCRA, SALCRA, SLDB dan sebagainya dan 12,312.02 hektar lagi di bawah 62 kelompok pekebun kecil persendirian atau Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOCs) kendalian MPOB.

“Ini bermakna sebanyak 8.21 peratus daripada 1,287,958 hektar kawasan tanaman pekebun kecil tersusun telah memperoleh sijil MSPO selain 1.26 peratus daripada 979,758 kawasan hektar tanaman pekebun kecil persendirian,” katanya

Teresa berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit 2018 di sini hari ini. Persidangan yang dihadiri kira-kira 500 pekebun kecil kelapa sawit berkenaan turut dihadiri Pengerusi MPOB Tan Sri Mohd Bakke Salleh.

Beliau bagaimanapun berkata pencapaian pensijilan MSPO masih kurang memuaskan kerana sehingga Julai 2018, hanya 2,613.25 hektar atau 1.2 peratus daripada 221,148.49 hektar kawasan tanaman pekebun kecil sawit di negeri itu yang memperoleh pensijilan berkenaan.

Oleh itu, beliau berkata MPOB telah menubuhkan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) untuk membantu pekebun kecil persendirian mendapatkan pensijilan MSPO manakala bagi pekebun kecil tersusun, bantuan disediakan melalui agensi persekutuan dan negeri masing-masing.

Katanya SPOC juga diwujudkan bagi menggalakkan Amalan Pertanian Baik dan bertujuan menyatukan pekebun kecil untuk manfaat bersama.

“?Kos pelaksanaan pensijilan MSPO bagi pekebun kecil persendirian ditanggung oleh kerajaan menerusi insentif sebanyak RM135 sehektar,” katanya.

Beliau berkata selain agensi pekebun kecil tersusun seperti FELDA, FELCRA serta SLDB, pekebun kecil juga boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pensijilan MSPO daripada persatuan-persatuan pekebun kecil seperti NASH (Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil), EMPA (East Malaysian Planters Association) dan DOPPA (Sarawak Dayak Oil Planters Association). – MalaysiaGazette