KUALA LUMPUR – Seorang pekerja kedai cermin mata di sini membuat laporan polis terhadap pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman.

Laporan itu dibuat selepas viral satu video yang didakwa pegawai itu merakam video di bawah skirt seorang staf wanita di premis berkenaan.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera litar tersembunyi (CCTV) di sebuah kedai cermin mata di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Malah tertera pada video berkenaan tarikh 8 September 2018 pada rakaman itu.

“Pada jam 11 pagi, ketika saya bertugas di Publika Solaris, semasa saya tengah membuat dan ujian mata terhadap Datuk Azis Jamman telah datang dari arah belakang dan mencurigakan dan saya rasa tidak selesa dengan tindakan lelaki tersebut.

“Semasa saya berpusing menghadap skin sebelah, saya perasan lelaki tersebut memegang telefon bimbit dan sedang merakam.

“Selepas melihat rakaman CCTV, saya dapati lelaki berkenaan sedangkan merakam di bawah skirt saya,” demikian menurut laporan polis berkenaan.

Hari ini tersebar video satu minit 47 saat di media sosial di mana memaparkan Azis dan pegawainya hadir di kedai cermin mata itu bagi menjalani ujian mata.

Dalam rakaman itu, pegawai tersebut yang memakai baju hijau bertindak mengeluarkan telefon pintarnya dan merakam video video bawah skirt seorang staf wanita berkenaan.

Difahamkan pejabat Timbalan Menteri akan mengeluarkan satu kenyataan tidak lama lagi. -MalaysiaGazette