Mahfodz Mohamed.

KUALA TERENGGANU – PAS akan memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kata Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Beliau berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat parti semalam yang turut bersetuju menyokong UMNO dalam pertandingan menentang Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tersebut.

“Kita telah berbincang mengenai PRK Port Dickson semalam iaitu kita bagi laluan pada UMNO untuk bertanding. Kita lebih suka kalau bertanding satu lawan satu. Jadi, kita akan memberi sokongan seperti yang dilakukan UMNO kepada PAS di PRK DUN Seri Setia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS ke-57 di sini oleh Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin dan turut dihadiri Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Dalam satu sidang media semalam, Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan beliau mengosongkan kerusi Parlimen itu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding di situ.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata ketiadaan calon PAS pada PRK Port Dickson tersebut antara bentuk kesepakatan dan persefahaman yang terjalin walaupun tidak dimeterai di atas kertas (secara rasmi).

Jelasnya, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kem pembangkang sudah sebulat suara untuk meletakkan hanya satu calon sahaja pada mana-mana PRK.

“Kami sudah ada kesepakatan iaitu kita bentuk kekuatan yang ada termasuk Sabah, Sarawak, iaitu apabila mana-mana kawasan ada PRK, hanya ada satu wakil sahaja daripada pakatan pembangkang. Ini persefahaman antara kami,” katanya.


Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin (tengah) dan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad (tiga, kiri) bersama kepemimpinan ulama pada perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-57, hari ini. — fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menyentuh mengenai kerjasama PAS-UMNO, Mahfodz berkata ia bukan untuk tujuan politk semata-mata tetapi turut melibatkan kepentingan agama dalam mengembangkan syiar Islam sebagai jalan penyelesaian kepada masalah negara dan dunia.

“Kita yakin, anggota PAS termasuk dari akar umbi bijaksana (dalam menilai kerjasama PAS-UMNO),” katanya menambah kerjasama itu bukan hanya dengan UMNO tetapi juga parti lain selagi ia membawa situasi ‘menang-menang’ kepada Islam dan PAS.

Sementara itu Hashim dalam ucapannya berkata UMNO hadir kepada PAS dalam keadaan yang lemah selepas kekalahan teruk pada PRU14.

Menurutnya PAS ketika itu, bersendirian dan hanya disokong parti-parti kecil seperti Ikatan dan Berjasa melalui Gagasan Sejahtera dan kerjasama PAS-UMNO merupakan pengalaman gerakan politik baharu selepas ‘’tidak sebulu’’ dengan Pakatan Harapan.

“Pengalaman ini cabaran besar kepada Dewan Ulama untuk bermuhasabah dan menjelaskannya kepada anggota PAS mengenai persengketaan politik dan masalah walla’,” katanya.- BERNAMA