KUALA LUMPUR – Tarikh pengundian pemilihan PKR tidak boleh ditangguh kerana ia akan menjejaskan peraturan yang telah ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti Datuk Rashid Din.

Beliau berkata ini kerana RoS telah menetapkan Kongres Nasional 2018 perlu diadakan pada November depan.

“Justeru, sebelum kongres itu berlangsung pemimpin perlu dipilih melalui pemilihan yang telah kita tetapkan pada 22 Sept hingga 28 Okt, kita tidak boleh lagi tunda tarikh ini kerana kita telahpun menundanya sebelum ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa proses pemilihan parti ditangguhkan sementara sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson selesai.

Menurut Shamsul Iskandar, langkah itu bertujuan menjamin akauntabiliti selain memastikan keberadaan semua pihak terlibat untuk berkubu di kawasan Parlimen tersebut.

Semalam, Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah daripada PKR mengumumkan beliau mengosongkan kerusi Parlimen berkenaan bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen itu.-BERNAMA