Ambiga Sreenevasan

PETALING JAYA – Kerajaan Pakatan Harapan digesa menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi menghentikan insiden kematian dalam lokap dan tahanan polis.

Bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenivasan berkata, kerajaan Pusat tidak boleh melengah-lengahkan perkara berkenaan dan IPCMC perlu menjadi agenda utama yang harus dilaksanakan segera.

Ini kerana, katanya, hak asasi rakyat perlu diutamakan supaya rakyat biasa di bawah harus dilindungi daripada terus menjadi mangsa.

“Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) sebelum ini bersetuju IPCMC diperlukan untuk mengawal tatatertib polis pada masa sama mencegah insiden kematian semasa dalam tahanan.

“Sebelum IGP ubah fikiran kerajaan Pakatan Harapan perlu segera proses tubuhkan IPCMC seberapa segera mungkin.

“Walaupun baru beberapa bulan membentuk kerajaan Persekutuan, ia patut memberi kesungguhan serius dan mengutamakan penubuhan IPCMC.

“Selain itu segala cadangan yang pernah disyorkan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam),Lawyers for Liberty untuk menyegerakan penubuhan (IPCMC)nya, kita mahu meletakkan tanda noktah untuk segala insiden kematian tahanan dalam lokap selepas ini,” kata beliau.

Beliau berucap dan melancarkan Buku Laporan “Faces”A Story of Police Custodial Deaths In Malaysia anjuran Lawyer fo Liberty di sini.

Bercakap kepada media selepas itu, penasihat Lawyers for Liberty N. Surendran pula berkata, siasatan terhadap empat daripada lima kes kematian dalam lokap polis termasuk Balamurugan dan Kugan yang diperincikan dalam buku laporan boleh dipertikaikan.

Katanya, bedah siasat serta perjalanan perbicaraan telah gagal membawa keadilan kepada ahli keluarga mangsa.

Penasihat Lawyers For Liberty (LFL), N.Surendran bercakap ketika membentangkan laporan berkenaan kematian membabitkan mereka yang ditahan di bawah jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Best Western Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 14 SEPTEMBER 2018.
Penasihat Lawyers For Liberty (LFL), N.Surendran bercakap ketika membentangkan laporan berkenaan kematian membabitkan mereka yang ditahan di bawah jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Best Western Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 14 SEPTEMBER 2018.

Beliau melahirkan rasa kecewa dan mendakwa polis sebelum ini terlalu didominasi dan dikawal oleh kerajaan Barisan Nasional sehingga segala kebenaran di sebalik kematian mangsa ditutup.

“Saya sedih budaya lama diteruskan di bawah kerajaan baharu yang dilihat tidak menunjukkan kesungguhan menubuhkan IPCMC yang seharusnya ditubuhkan sekarang.

“Dalam kes baharu 19 Mei lalu kejadian Pegawai Kadet Graduan J Soosaimanicckam mati mengejut semasa latihan di KD Sultan Idris Lumut, laporan bedah siasat lengkap belum diterima keluarga dan dilengahkan sejak polis menyiasat kes itu.

“Menteri Pertahanan keluar kenyataan 13 Julai lalu menjanjikan siasatan menyeluruh tanpa ‘cover up’ untuk mencari punca kejadian dan pesalah akan dihukum jika unsur jenayah ditemui, tetapi sehingga kini mereka seolah lepas tangan tanpa tindakan lanjut,” katanya.

Beliau bersama peguam Eric Paulsen juga mendesak Kementerian Dalam Negeri, Peguam Negara dan Kementerian Kesihatan memberi keutamaan kepada isu kematian dalam lokap dan segera bertindak.

“Mereka sewaktu menjadi pembangkang menentang insiden kematian dalam lokap dan berjanji mencegah insiden itu.

“Kini ramai antara mereka menganggotai Kabinet dan inilah masanya untuk bertindak menerusi langkah pencegahan tanpa melengah-lengahkan masa,” tegas Eric Paulsen dan Surendran.- MalaysiaGazette