Brig Jen (B) Mohamed Arshad Raji.

KUALA LUMPUR – Tindakan Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson disifatkan satu pengkhianatan meskipun beliau boleh berbangga kerana mencatatkan sejarah sebagai Ahli Parlimen yang melepaskan jawatannya.

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) dalam kenyataan kecewanya berkata, Danyal tidak ubah seperti papan catur yang digunakan demi kehendak politik parti yang diwakilinya.

Lebih dikesalkan, kata Presiden Patriot, Brig. Jeneral Datuk Mohamed Arshad Raji apabila mengenangkan persatuan itu telah memberi sumbangan untuk membiayai kempen selepas nama Danyal dicalonkan.

Malah, Patriot dan veteran-veteran tentera telah turun berkempen dan meraikan kemenangannya.

“Setelah memenangi kerusi dalam persaingan yang cukup sengit dan kemudian melepaskannya adalah tidak masuk akal,” katanya.

Rabu lalu, Danyal mengumum melepaskan kerusi Port Dickson bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil.

Peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson berkuatkuasa serta-merta.

Danyal memenangi kerusi Port Dickson dengan majoriti 17,710 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 dengan memperoleh 36,225 undi mengalahkan calon Barisan Nasional dan Pas masing-masing dengan undi 18,515 undi dan 6,594 undi.

Mohamed Arshad menegaskan meskipun Danyal berkata akan terus berkhidmat di Parlimennya, situasi tidak sama kerana terdapat perbezaan besar antara bercakap sebagai Ahli Parlimen dan sebagai pegawai yang berkhidmat di bawah Ahli Parlimen.

“Suara Ahli Parlimen mempunyai kedudukannya tinggi dalam protokol, boleh bersuara mengenai veteran dan isu-isu berat tentang polis pencen.

“Isu yang berkaitan dengan tentera dan kebajikan veteran dan polis pencena perlu diartikulasikan di Parlimen dan di luar bila perlu.

“Ini perlu dilakukan secara berterusan dalam tempoh 5 tahun. Apabila Danyal keluar maka suara untuk mewakili kakitangan yang masih berkhidmat dan veteran hilang,” ujarnya.

Mohamed Arshad berkata, pihaknya tidak menentang Anwar untuk bertanding, sebaliknya membantah tindakan Danyal melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR itu untuk bertanding.

“Kami hanya menyatakan kekecewaan ramai veteran yang dikemukakan melalui media sosial dan ada cadangan untuk mencalonkan pegawai bersara untuk bertanding sebagai bebas dalam pilihan raya kecil itu,” katanya. – MalaysiaGazette