Najib Razak

KUALA LUMPUR – Selepas tersilap titik perpuluhan dan ‘hantam’ cukai jualan bagi barangan makanan, terbaru Lim Guan Eng  tersilap tarikh pula.

Kesilapan tersebut berlaku apabila Menteri Kewangan itu menyatakan mata wang tempatan kini hanya lemah sebanyak 2.2 peratus sejak akhir tahun 2017 dan lebih baik berbanding mata wang dari negara-negara.

Dakwa Guan Eng, prestasi ringgit itu menunjukkan kepercayaan pelabur kepada kerajaan baharu.

Bagaimanapun, bidas Datuk Seri Najib Razak, Menteri Kewangan itu tersilap tarikh kerana kerajaan bertukar bukan pada akhir tahun 2017 tetapi pada 9 mei 2018.

Jelas bekas Perdana Menteri itu, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), iaitu sejak akhir tahun 2017, nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat semakin mengukuh.

Namun, selepas PRU14 sehingga hari ini, trend berubah apabila prestasi ringgit semakin lemah.

Ringgit berada dari RM3.85 pada bulan April sebelum PRU14 kepada RM4.15 pada masa ini.

Menurut Najib, ringgit juga lebih lemah sejak PRU14 berbanding mata wang lain di rantau ini.

“Sebagai contoh, berbanding dolar Singapura, ringgit menyusut dari RM2.94 kepada RM3.02 dan dengan Thai Baht dari 8.1 baht kepada 7.6 baht.

“Antara faktor yang dinyatakan kebanyakan penganalisa mengapa ringgit lebih lemah sejak PRU14 ialah pengaliran keluar dana asing yang besar dan polisi-polisi kerajaan yang tidak menentu atau tidak konsisten,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan tersebut semalam selepas Najib menyuarakan kebimbangan tentang prestasi ringgit dan meminta kerajaan melakukan sesuatu sebelum ia lebih buruk.

Dalam kenyataan yang dibuat melalui Facebook Rabu lalu, Najib berkata, kebiasaannya ringgit akan mengukuh apabila harga minyak naik dan sebaliknya.

Tetapi selepas PRU14, kata Najib, keadaannya agak menggusarkan kerana aliran nilai sudah bergerak bertentangan, yang mana harga minyak dunia semakin naik tetapi nilai ringgit semakin susut.

Najib berkata, Guan Eng tidak perlu bersikap defensif dengan mengeluarkan kenyataan menggunakan tarikh yang tidak betul untuk mengelirukan orang ramai semata-mata mahu menjawab kebimbangannya terhadap penyusutan ringgit.

Beliau sepatutnya ambil langkah untuk mencegah kemungkinan ringgit akan turun dengan lebih teruk lagi dan Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi jika harga minyak dunia tiba-tiba turun dengan banyak seperti yang berlaku pada tahun 2015 dan 2016. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast