KOTA KINABALU – Dua orang nelayan yang diculik di Semporna pada awal pagi 11 September lalu dipercayai sudah dibawa suspek ke selatan Filipina.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya difahamkan mangsa dibawa ke satu tempat dikenali sebagai Talipau, di selatan negara jiran berkenaan.

“Kita masih bekerjasama dengan pihak keselamatan Filipina untuk kesan suspek dan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Omar juga berkata, pihaknya belum menerima apa-apa panggilan sama ada daripada pihak suspek atau mangsa untuk menuntut sebarang wang tebusan.

Pada 11 September lalu, kira-kira jam 12.30 pagi, dua orang nelayan warga Indonesia diculik dua lelaki bersenjata ketika sedang menangkap ikan di Pulau Gaya, Semporna.

Dalam insiden itu, dua lagi kru bot nelayan berkenaan berjaya menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam satu ruang dalam bot berkenaan. – Bernama