KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran lima pegawai kanannya yang akan berkuat kuasa 15 Oktober ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pertukaran itu membabitkan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) (Gerakan) Bukit Aman, Datuk Azizan Abd. Aziz yang dilantik sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Operasi).
Menurutnya, Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan/Pasukan Gerakan Am) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim pula akan menggantikan Azizan sebagai Timbalan Pengarah KDNKA (Gerakan).

Jelasnya, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber, Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid pula dilantik menjadi Ketua Penolong Pengarah Special Task Force On Organised Crime (Stafoc) Skuad Taktikal Khas 1, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Ketua Penolong Pengarah Stafoc Skuad Taktikal Khas 1, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Laham akan menggantikan Abdul Aziz sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber JPJKK, Bukit Aman.

“Pertukaran terakhir melibatkan Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy yang akan dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sentul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette