Angin kuat melanda Carolina. foto NY Times

WASHINGTON – Donald Trump mengisytiharkan bencana di North Carolina selepas taufan Florence mengorbankan 11 orang.

Meskipun ribut Florence semakin lemah dengan tiupan selaju 72 kilometer sejam tetapi ia dijangka membawa banjir kilat.

Sesetengah bandar merekodkan lebih daripada 60 sentimeter hujan dan kaji cuaca meramalkan jumlahnya boleh mencecah satu meter.

Hampir setengah juta kediaman di Carolina mengalami gangguan elektrik.

Presiden Amerika Syarikat itu berkata, pengisytiharan bagi lapan negeri di utara Carolina itu membolehkan ia mendapat peruntukan daripada Persekutuan bagi membaiki kediaman dan pinjaman untuk kerugian yang tidak dilindungi.

Trump dijangka melawat kawasan berkenaan pada minggu depan, kata White House.

Kira-kira 9.700 orang tentera dan awam dibekalkan dengan kenderaan tinggi, helikopter dan bot bagi kerja-kerja menyelamat. – MalaysiaGazette