Datuk Seri Jamal Md Yunos
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2018

AMPANG – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini akan didakwa atas kesalahan keluar negara melalui pintu tidak sah.

Peguamnya, Datuk Imran Tamrin yang dihubungi MalaysiaGazette pagi ini memberitahu Jamal akan dituduh di bawah Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun Imran berkata, Jamal perlu menghadirkan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang untuk tujuan dokumentasi sebelum dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang Jaya, di sini.

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu dijangka dibawa polis ke Mahkamah Majistret Ampang Jaya tengahari ini.

Pada 25 Mei lalu, Jamal dihadapkan dua pertuduhan melakukan gangguan awam.

Beliau bagaimanapun melarikan diri ketika proses ikat jamin berlangsung di Hospital Pakar Ampang Puteri, ketika sedang menjalani rawatan.

Selepas lebih sebulan bersembunyi, Jamal ditahan di Tebet, Jakarta Selatan, pada 2 Julai lalu oleh polis Indonesia.

Jika didapati bersalah atas kesalahan lari daripada tahanan, beliau boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan gangguan awam, beliau juga berdepan hukuman sama, iaitu hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM5,000, atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette