Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berucap pada program Hari Wanita Kebangsaan 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 19 SEPTEMBER 2018.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berucap pada program Hari Wanita Kebangsaan 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 19 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Perkahwinan antara seorang duda berusia 44 dengan seorang remaja berusia 15 tahun di Tumpat, Kelantan yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini adalah atas alasan suka sama suka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pegawai Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang membuat siasatan kepada pasangan berkenaan mendapati perkahwinan tersebut mendapat restu daripada ibu-bapa remaja berkenaan.

“Saya telah laporkan kepada jemaah kabinet bahawa ada satu lagi kes perkahwinan kanak-kanak berusia 15 tahun. Pegawai kementerian telah berjumpa dengan kanak-kanak tersebut dan dia adalah isteri kepada duda. Bukan isteri kedua.

“Ini perkahwinan suka sama suka dan kita tengah dalam proses untuk menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun,” katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Wan Azizah merujuk kepada laporan media semalam bahawa terdapat kes terbaharu melibatkan perkahwinan bawah umur di Kelantan.

New Straits Times semalam melaporkan, gadis tersebut bernikah dengan lelaki itu di Tumpat kerana keluarganya mahukan anak gadis berkenaan hidup bahagia.

Dalam laporan berkenaan, ibu bapa gadis itu, yang mempunyai 12 anak lain, berkata mereka merestui perkahwinan anaknya dengan lelaki berusia 44 tahun itu kerana mahu anak mereka memperoleh kehidupan yang lebih baik. -MalaysiaGazette