Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didakwa beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menasihati para ahli dan pemimpin UMNO supaya terus kekal bersama parti dan Barisan Nasional (BN).

Bekas perdana menteri itu berkata, dalam saat menghadapi keadaan getir, parti memerlukan kekuatan ahli dan pemimpinnya yang terus memperkuatkan kemudi bersama nahkoda.

“Kalau kita selama ini dapat menikmati segala kemudahan dalam parti, inilah masanya parti memerlukan kita.

“Sumbangan kita serta komitmen tinggi kita perlu dicurahkan kepada parti dalam keadaan getir sebegini demi memperkukuhkan di semua peringkat.

“Saya juga berharap agar kita ini akan terus menunjukkan kesetiaan kepada UMNO dan BN,” katanya di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta di sini selepas didakwa hari ini.

Najib berkata demikian apabila ditanya sama ada kemungkinan lebih ramai lagi ahli dan pemimpin dalam UMNO akan meninggalkan parti itu berikutan Datuk Seri Mustapha Mohamed (Tok Pa) dan Datuk Seri Anifah Aman yang bertindak meninggalkan parti itu baru-baru ini.

Diminta mengulas mengenai dakwaan Tok Pa meninggalkan parti kerana ugutan oleh pihak tertentu, Najib berkata, beliau perlu mengadakan perjumpaan dengan tuan punya badan untuk mendapatkan perkara sebenar.

“Saya belum pasti lagi (sebab Tok Pa keluar parti)..belum jumpa dengan Tok Pa lagi. Kalau dapat peluang dan dia sanggup cerita sebenarnya baru saya boleh buat sesuatu kenyataan atau kesimpulan,” tegasnya.- MalaysiaGazette