Mazlan Mansor

KUALA LUMPUR – Dua lagi kematian direkodkan masing-masing di Selangor dan ibu negara akibat minum arak mengandungi metanol.

Ia sekaligus menyaksikan angka korban kepada 29 orang.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Mansor dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat 8 pagi tadi katanya, dua lagi mangsa dilaporkan meninggal dunia membabitkan warga Myanmar dan Nepal berusia 30-an yang menetap di Sungai Buloh.

“Lelaki Myanmar mati di Hospital Kuala Lumpur manakala warga Nepal meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

“Jumlah kematian di negeri Selangor pula meningkat kepada 22 orang setakat ini sementara 22 orang lagi mangsa sedang dirawat di beberapa hospital di Selangor dan HKL,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan sama, tambah beliau, secara keseluruhannya jumlah mangsa meminum arak mengandungi metanol itu berjumlah 58 orang.

“Daripada jumlah itu, 14 orang sudah dibenarkan pulang manakala 22 lagi masih ditahan dan dirawat.

“Maka setakat ini keseluruhan mangsa maut adalah terdiri daripada 10 warga Myanmar, enam Nepal iaitu masing-masing dua warga tempatan dan Bangladesh serta seorang warganegara India,” ujar beliau.

Namun identiti seorang lagi mangsa belum dapat dikenalpasti setakat ini.

Menyentuh mengenai siasatan kes berkenaan, katanya, seramai 10 orang termasuk 7 warga asing berusia 19 hingga 48 tahun telah ditangkap dalam 13 serbuan berasingan di sekitar Shah Alam, Gombak, Sungai Buloh dan Kajang menerusi Ops Methanol sejak kelmarin.

“Lima daripada 10 suspek termasuk seorang wanita tempatan telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala yang lain masih direman untuk disiasat dibawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Dalam operasi sama, kita berjaya merampas 1,021 botol arak dan 1,695 tin bir pelbagai jenama,” katanya.- MalaysiaGazette