Proton

KUALA LUMPUR- Proton Holdings Bhd. (Proton) mengeksport semula kenderaannya ke Mesir buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun.

Sebanyak 225 buah kereta Proton dihantar menerusi Northport, Pelabuhan Klang ke pelabuhan Alexandia di Kaherah, Mesir.

“Keadaan pasaran yang semakin baik membuatkan Proton kini mampu mengeksport semula kereta-kereta kami di samping mengambil peluang daripada unjuran pertumbuhan hebat Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Proton gembira apabila mampu mengeksport semula kereta-keretanya ke pasaran yang telah terbukti popular pada masa lalu.

Kali terakhir Proton mengeksport kenderaannya adalah pada Disember 2015 melibatkan 320 buah kereta Gen 2 dan Persona.

Bagaimanapun, penurunan nilai ringgit menyukarkan syarikat tersebut untuk menetapkan harga kompetitif bagi kereta-keretanya untuk pasaran eksport.-MalaysiaGazette