KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipercayai mendahului pemilihan parti itu setakat jam 10 pagi tadi.
Menurut keputusan tidak rasmi yang tersebar hari ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dikatakan sedang mendahului pesaingnya, Rafizi Ramli di Pulau Pinang.
Pada 13 cabang di Pulau Pinang mendapati Azmin mendahului 3,326 undi berbanding Rafizi dengan 3,150 undi.
Azmin mendahului Rafizi di cabang Kepala Batas, Batu Kawan, Nibong Tebal, Bukit Bendera, Tanjung, Jelutong, Bayan Baru dan Bukit Mertajam.
Manakala Rafizi teratas di Bagan, Tasek Gelugor, Permatang Pauh, Bukit Gelugor, dan Balik Pulau.
Pemilihan PKR di Pulau Pinang semalam kecoh di beberapa cabang antaranya di Seberang Jaya apabila insiden kerusi terbang direkodkan semasa Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengadakan sidang media.
Video yang dimuat naik anggota PKR Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga, menunjukkan seorang individu yang cuba menyerang sekumpulan lain dengan kerusi tetapi sempat dihalang.
Video sama turut menunjukkan seorang lagi membaling kerusi dan sempat disambut sebelum mencederakan orang lain.
Turut kelihatan adalah calon Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin yang menenangkan keadaan yang kian hangat.
Kejadian dipercayai berlaku di Safira Country Club, Seberang Jaya. -MalaysiaGazette