Video dari Facebook Chegubard yang menunjukkan petugas JPP Pemilihan PKR 2018 bertindak menanda e voting pengundi.
Video dari Facebook Chegubard yang menunjukkan petugas JPP Pemilihan PKR 2018 bertindak menanda e voting pengundi.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin, hari ini mendedahkan beberapa video dalam Pemilihan PKR 2018 yang didakwa berlakunya penipuan.

Dalam Facebooknya hari ini, Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard memuatnaik dua video yang memaparkan tindakan petugas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bertindak menanda e-voting (e-undi) ahli parti itu.

“Cuba lihat bagaimana ‘penipuan berlaku’ video jelas petugas JPP Pemilihan PKR 2018 bertindak menanda e-voting pengundi.

“Saya tegaskan sekali lagi, siapa kuasai JPP dan ibu pejabat (dia) akan menang. Kali ini siapa mangsa dan siapa pemangsa,” katanya di Facebook beliau.

Video pertama yang disiarkan yang berudasi 1 minit 40 saat itu menunjukkan seorang petugas sedang menandakan e-undi seorang ahli wanita parti itu dan dua orang petugas JPP sedang menandakan e-undi tanpa kelibat mana-mana ahli.

Mereka berdua dilihat menandakan semua e-undi dengan berpandukan kepada paca (Ejen Pusat Mengundi dan Mengira Undi) yang diberikan.

Kegiatan itu didakwa berlaku di sebuah pusat pengundian yang sedang berlangsung.

Dalam video kedua, petugas turut menandakan e-undi pengundi yang terdiri daripada golongan warga emas dan ahli muda parti itu.

Menurut Chegubard, perkara itu dibangkitkan oleh beliau sejak 2010 namun tidak diendahkan oleh pucuk pimpinan parti.

“Pemangsa pastinya siapa yang kuasai JPP dan ibu pejabat. Inilah yang berlaku sejak pemilihan 2010, 2014 cuma ketika itu saya bising tapi ramai bisu kali ini ada yang kena batang hidung sendiri maka padanlah muka,” katanya lagi.

Sabtu lalu, seorang penyokong PKR cedera dibaling kerusi, dalam kekecohan yang berlaku sewaktu sidang media Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR berlangsung di Seberang Jaya.

Dalam insiden itu, lelaki berkenaan luka pada bahagian kepala apabila terkena kerusi yang dibaling sekumpulan lelaki di pintu masuk dewan berkenaan.

Pergaduhan itu tercetus apabila ahli PKR yang hadir pada sidang media itu menjerit dan membantah keputusan pemilihan di Pulau Pinang dan mengesa keputusan dibatalkan selepas berlaku masalah dalam proses pemilihan di beberapa pusat di negeri terbabit.

Kumpulan itu kemudiannya cuba merempuh barisan kepimpinan JPP sehingga berlaku kekecohan dan pergaduhan antara mereka sebelum ia berlarutan hingga ke luar dewan.

Insiden itu mendapat perhatian Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau memberikan amaran dengan membuang individu bertanggungjawab menimbulkan kekecohan dan membaling kerusi pada pemilihan tahun ini.

“Pertamanya orang-orang yang telah lakukan kegiatan yang tidak wajar itu harus kalau ada bukti sah kita akan baling keluar dari parti.

“Keduanya soal penangguhan itu kerana nak memantapkan saya, dan tidak mahu ada kekecelaruan yang membangkitkan permasalahan,” katanya ketika ucapan Sambutan Hari Malaysia 2018 PKR Sabah semalam. – MalaysiaGazette