ringgit
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini walaupun harga minyak mentah lebih tinggi, kata peniaga.

Beliau berkata, harga yang lebih tinggi itu telah diimbangi oleh peningkatan hasil global, terutama di AS, yang menjadikan bon tempatan kurang menarik.

“Bagaimanapun sentimen positif boleh terjejas berikutan beberapa kenyataan menunjukkan anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeluar Petroleum (OPEC) bersetuju bahawa harga minyak mentah di atas paras US$80 setong adalah terlalu tinggi.

“Sekiranya OPEC bertindak menstabilkan harga dalam lingkungan US$70 hingga US$80 setong, ia mungkin melemahkan sentimen pasaran minyak dan juga mempengaruhi pasaran mata wang,” katanya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Nota tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0260/0294 daripada 3.0271/0304 pada Jumaat minggu lepas namun rendah berbanding yen kepada 3.6690/6735 daripada 3.6609/6654.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.8518/8577 daripada 4.8607/8679 pada Jumaat lepas dan kukuh berbanding pound kepada 5.4051/4107 daripada 5.4428/4501. – MalaysiaGazette