Orang ramai bertempiaran menyelamat diri dalam serangan di Ahvaz Sabtu lalu, yang didakwa didalangi oleh Amerika Syarikat dan Israel. foto Al Jazeera

LONDON – Timbalan Ketua Tentera Revolusi Iran memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan Israel untuk menjangkakan maklum balas Tehran selepas didakwa terlibat dalam serangan dalam perarakan ketenteraan di bandar Ahvaz.

Serangan yang berlaku pada Sabtu lalu menyebabkan kematian 25 orang termasuk 12 orang tentera elit.

Kerajaan Tehran mengumumkan hari ini sebagai hari berkabung dan pejabat awam, sekolah dan universiti di wilayah Khuzenstan diarah tutup.

“Anda telah melihat dendam kami sebelum ini … anda akan melihat bahawa tindak balas kami akan menghancurkan anda dan anda akan menyesali apa yang telah anda lakukan,” kata Hossein Salami dalam ucapan sebelum pengebumian mangsa-mangsa di Ahvaz.

Ucapan itu dsiarkan secara langsung.

Menteri Perisikan Iran, Mahmoud Alavi memaklumkan, rangkaian suspek yang dipercayai ada kaitan dengan serangan itu telah ditangkap.

Dalam serangan itu, empat penyerang menembak di pentas, lokasi di mana pegawai-pegawai Iran berkumpul untuk menonton acara tahunan memperingati permulaan Perang 1980-88 antara Iran dan Iraq.

Agensi Amaq pula menyiarkan video tiga lelaki dalam sebuah kenderaan yang dikatakan sedang dalam perjalanan untuk melakukan serangan.

Manakala seorang lelaki yang memakai topi besbol yang berlogo tentera Revolusi membincangkan serangan yang akan berlaku di Farsi dalam video itu.

Pergerakan pembangkang etnik Arab Iran, Ahvaz National Resistance yang mahu mendapatkan pengasingan di wilayah Khuzesta turut mendakwa bertanggungjawab.

Komander Kanan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pula mendakwa serangan Ahvaz dilakukan oleh pemberontak yang dilatih di negara-negara Teluk dan Israel. Israel pula disokong oleh Amerika.

Tetapi tidak mungkin IRGC akan menyerang secara terus. – MalaysiaGazette