Hishammuddin Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

JOHOR BAHRU – Keputusan UMNO tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson adalah satu keputusan di luar kebiasaan parti dan disifatkan akan mempunyai kesannya tersendiri pada masa hadapan.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan partinya itu untuk tidak meletakkan calon pada PRK itu 13 Oktober ini.

“Ia (tindakan tidak meletakkan calon) tidak akan berakhir di situ. Ia akan memerlukan kepimpinan parti turun padang, menjelaskan kepada anggota-anggota kita di situ (Port Dickson) tentang apa yang mereka perlu buat apabila tibanya pilihan raya.

“Ia sama ada adakah mereka perlu mengundi pembangkang (pihak lawan), adakah mereka langsung tidak perlu mengundi atau apa akan terjadi sekiranya mereka mengundi pihak lawan kerana jika itu berlaku, mereka akan dituduh mengundi lawan yang akhirnya sebabkan mereka kena tindakan tatatertib mengikut perlembagaan parti,” kata Ketua Umno Bahagian Sembrong itu.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra Bersama UMNO Tebrau di Savanna Hill Resort, Ulu Tiram, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Samsol Bari Jamali dan Ketua Umno Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang.

Hishammuddin berkata beliau percaya anggota-anggota UMNO di Port Dickson mahukan kepimpinan parti yang memberikan hala tuju jelas kepada mereka, dan malah beliau juga telah menasihatkan pucuk pimpinan agar berhati-hati dengan keputusan diambil.

— BERNAMA