Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menghadiri mesyuarat ASEAN selepas 15 tahun berkata Malaysia amat bimbang dengan aliran mega global terkini yang melibatkan perang perdagangan antara kuasa-kuasa utama dunia.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kembali menghadiri mesyuarat ASEAN selepas 15 tahun berkata Malaysia amat bimbang dengan aliran mega global terkini yang melibatkan perang perdagangan antara kuasa-kuasa utama dunia.

LONDON – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, individu yang melakukan rasuah mesti dihukum tetapi beliau berpendapat ia belum mencapai tahap di Malaysia pesalah rasuah harus dihukum penjara seumur hidup.

“Mereka (individu yang melakukan rasuah) mungkin di penjara, berapa lama mereka dipenjarakan bergantung pada tahap kesalahan rasuah, dan saya fikir tahap rasuah yang berbeza memerlukan hukuman yang berbeza. Tetapi kami belum mencapai tahap bagi hukuman penjara seumur hidup,” katanya.

Dr Mahathir menjawab soalan sama ada beliau menyokong hukuman mati bagi pemimpin yang melakukan rasuah selepas beliau menyampaikan syarahan bertajuk ‘Cabaran Tadbir Urus Yang Baik Dalam Negara Islam’ di Pusat Pengajian Islam Oxford di Universiti Oxford semalam.

“Individu yang didapati bersalah melakukan rasuah oleh mahkamah di Malaysia akan dihukum penjara,” katanya sambil menambah di sesetengah negara pesalah rasuah ditembak mati tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah itu.

Dalam syarahannya yang menyentuh mengenai negara Islam dan sistem demokrasi, Dr Mahathir berkata negara Islam yang mengamalkan sistem demokrasi perlu lebih banyak masa untuk memahami pelaksanaan demokrasi.

“Sekiranya anda tidak memahami bahawa dalam demokrasi undi paling berkuasa, jadi anda tidak perlu mengamalkan sistem demokrasi,” katanya, sambil menambah di beberapa negara Islam, mereka lebih selesa dengan sistem monarki.

Di sesetengah negara Islam, peralihan kepada sistem demokrasi telah membawa bencana terhadap negara-negara berkenaan, katanya.

“Setiap kali mereka cuba laksanakan sistem demokrasi, akan ada pertempuran antara mereka dan negara itu hampir musnah,” katanya.

Dalam sistem demokrasi, beliau berkata, rakyat memilih kerajaan dan menyokong kerajaan untuk tempoh masa tertentu.

“Bagaimanapun, di beberapa negara Islam, mereka tidak sanggup menunggu sehingga tamat tempoh tersebut dan mahu perubahan segera selepas pilihan raya, “ katanya. – MalaysiaGazette