Foto Instagram Janna Nick

KUALA LUMPUR – Pelakon Janna Nick pelik dengan sikap segelintir netizen yang gemar mencari kesalahannya apabila mengutuk betis kakinya kelihatan besar ketika mengacarakan program hiburan Melodi pada Ahad lalu.

Menerusi Instagramnya, Janna berkata, dia sendiri tidak faham mengapa perkara itu pun hendak dijadikan isu.

Malah secara sindiran, Janna atau nama sebenar Nurul Jannah Muner memberitahu, betis yang besar telah membawa rezeki kepadanya selama ini.

“Betis pun jadi isu, bukan nak jadi bini depa (mereka) pun. Betis besar inilah yang bagi kami makan tau.

“Betis pun korang kutuk, tak faham! Tak suka saya menyanyi, berlakon atau mengacara saya boleh perbaiki diri tapi kalau betis besar nak pergi mana? Buat pembedahan plastik?,” katanya di Instagram.

Janna sebelum ini dia pernah dihentam kerana memakai seluar ketat selain pengacaraannya yang membosankan dan adakalanya terkinja-kinja.

Sementara itu, pelakon berusia 23 tahun itu berkata, dia sudah lali dengan kritikan netizen kerana ia bukan sesuatu yang baharu buat dirinya.

“Tak boleh berlakon, orang tak suka kita terima. Tak boleh mengacara, orang benci tidak mengapa kita terima juga. Tak boleh menyanyi orang kutuk kita terima.
“Cakaplah apa pun… Mek (saya) dah takde hati nak layan. Lepas jadi Leftenan Zana ni lagi la tiada perasaan,” tulisnya di Instagramnya. – MalaysiaGazette