Kemudahan B&P Perodua di Keantan.

KUALA LUMPUR – Perodua telah memperkenalkan pusat Badan Kenderaan dan Cat (B&P) yang ke-66 di Kelantan untuk memenuhi keperluan para pelanggan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Pusat baharu yang bernilai RM2 juta ini dimiliki dan dikendali sepenuhnya oleh pengedar Perodua, Nasrom (M) Sdn Bhd.

Terletak di kawasan seluas 17,000 kaki persegi, kemudahan B&P baharu ini mampu membaiki sehingga 1,080 buah kereta setahun.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dr Zahari Husin berkata, kemudahan ini terletak di Lot 12972 & 12973, Kg Padang Kala, Daerah Peringat, 16150 Kota Bharu.

“Dengan kemudahan baharu ini, pelanggan kami akan dijamin dengan mutu kerja yang berkualiti dan alat ganti yang tulen dalam proses membaiki kereta mereka,” katanya.

Dr Zahari berkata, Perodua akan terus menambahbaik kemudahan B&P yang sedia ada ataupun mewujudkan kemudahan baru dalam memenuhi keperluan lebih daripada 3.2 juta pemilik kenderaan Perodua di seluruh negara.

Selain meningkatkan kemudahan kepada para pelanggan, fasiliti baharu ini juga membuktikan komitmen kami dalam mengembangkan eko-sistem ​automotif tempatan, terutamanya pengedar bebas seperti Nasrom (M) Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasrom (M) Sdn Bhd, Ab. Alim Hassan berkata, syarikat itu dilantik sebagai pengedar sah Perodua sejak 1994 dan ia turut mengendalikan cawangan 1S (jualan) dan cawangan 2S (servis dan alat ganti), kedua-duanya di Kubang Kerian.

Daripada 66 buah pusat B&P Perodua di seluruh negara, tujuh bertempat di Pantai Timur, meliputi kawasan Kuala Terengganu, Kemaman, Kuantan, Jerantut dan Kota Bharu. – MalaysiaGazette