Datin Seri Rosmah Mansor
Rosmah Mansor

PUTRAJAYA – Isteri Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor kini memasuki jam ketujuh dalam sesi memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rosmah yang hadir jam 9.52 pagi tadi memasuki premis berkenaan setelah tiba dengan menaiki sebuah Proton Perdana berwarna hitam bernombor pendaftaran WLD11.

Beliau yang berbaju kurung dan bertudung sedondon hijau hadir di ibu pejabat SPRM tanpa ditemani ahli keluarganya dan bersama beliau adalah peguamnya Datuk K. Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent.

Ini kali kedua Rosmah dipanggil SPRM bagi mendapatkan keterangan, namun kali ini berkaitan kes pengubahan wang haram.

Pada 5 Jun lalu, SPRM memanggil Rosmah bagi memberikan keterangan berhubung siasatan kes terhadap SRC International Sdn Bhd.

Tindakan memanggil Rosmah dipercayai bagi membolehkan siasatan selanjutnya berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram. -MalaysiaGazette