Tony
Tan Sri Tony Fernandes

KUALA LUMPUR – Pemilihan Tan Sri Tony Fernandes sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang baharu dibuat berdasarkan pencapaian dan pengalamannya dalam bidang korporat di Malaysia dan antarabangsa selain penglibatan dalam bidang sukan, jelas Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, KBS menjelaskan, Tony akan bertanggungjawab untuk melakukan penambahbaikan struktur dan operasi PSM serta memulihkan keadaan kewangan semasa badan itu yang kini mengalami kerugian sebanyak RM11 juta.

“Perlantikan beliau diharapkan dapat memajukan serta merancakkan lagi aktiviti belia, sukan, rekreasi dan hiburan yang melibatkan pelbagai aset di bawah PSM secara meluas, bukan sahaja dari segi penjanaan pulangan ekonomi yang baik kepada negara, malah dapat merealisasikan hasrat Kementerian Belia dan Sukan untuk membentuk budaya aktif dan sihat di kalangan rakyat Malaysia, khususnya untuk para belia,” katanya.

Menurut KBS, Tony mempunyai pengalaman luas dalam dalam pelbagai bidang komersial termasuk industri penerbangan (AirAsia), hiburan (Warner Music), perhotelan (Tune Hotels), penyiaran (The Apperentice Asia) selain pernah memenangi anugerah CEO of The Year dan Entreprenuer of The Year.

Beliau juga memiliki kelab bola sepak yang bermain dalam Liga Perdana Inggeris, Queens Park Rangers dan juga pengasas kepada pasukan Formula 1 iaitu Caterham F1 Team.-MalaysiaGazette