Abdul Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bersama Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Soam Heng Choon (kanan) melihat pameran fotografi pada Persidangan Antrabangsa Bandar Lestari Bertaraf Dunia 2018 di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 27 SEPTEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Pusat tahfiz yang beroperasi secara haram di sekitar Kuala Lumpur diminta supaya mendaftar segera dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, kata Menterinya, Khalid Samad.

Katanya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan mahu mengharamkan mana-mana pusat tahfiz yang tidak berdaftar, sebaliknya menyaran pihak pentadbiran berkenaan berbuat demikian bagi tujuan untuk bantuan dan keprihatinan kerajaan.

“Kita nak semua pihak yang buka pusat tahfiz datang ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendaftar dengan segera.

“Ini kerana kita bersetuju untuk membuat beberapa pertimbangan dari segi keprihatinan dalam bentuk infrastruktur, keselamatan dan kelengkapan untuk pelajar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bandar Lestari Bertaraf Dunia 2018 di Hotel Intercontinental di sini, hari ini.

Khalid mengulas laporan media yang mendakwa beliau mengarahkan pusat tahfiz di kepong yang dikaitkan dengan kes pencabulan sekurang-kurangnya sembilan pelajar oleh pengetuanya agar ditutup.

Beliau dilaporkan berkata, DBKL tidak lagi bertolak ansur dengan pusat tahfiz yang tidak sah di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pihaknya akan memberi nasihat, rundingan dan bantuan kepada pusat tahfiz yang mendaftar dengan kementerian itu demi untuk keselamatan dan kesejahteraan pelajar.

Beliau turut meminta ibu bapa agar membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum meletakkan anak mereka belajar di pusat tahfiz dengan memastikan ia berdaftar dan mempunyai ciri-ciri keselamatan.

“Bukan tujuan kita nak tutup. Kita nak bantu, nak pantau agar bangunan pusat tahfiz itu selamat, di samping menepati beberapa peraturan yang ditetapkan kerajaan.

“Kementerian saya bertanggungjawab terhadap infrastruktur, manakala silibus pengajian dibawah tanggungjawab Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),” katanya. – MalaysiaGazette