Bursa Malaysia
KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, seiring prestasi pasaran serantau lain susulan penyusutan semalaman Wall Street selepas pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat bertindak menaikkan kadar faedah pada Rabu, kata peniaga.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.08 mata untuk ditutup kepada 1,798.64 berbanding 1,798.72 sewaktu ditutup pada Rabu.

Selepas dibuka 2.77 mata lebih rendah kepada 1,795.95, indeks petunjuk utama itu berlegar antara 1,793.83 dan 1,803.71 dalam dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 503 berbanding 359 dengan 380 kaunter tidak berubah, 662 tidak diniagakan dan 98 lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 1.99 bilion unit bernilai RM2.05 bilion berbanding 2.21 bilion unit bernilai RM2.30 bilion yang dicatat pada Rabu.

Seorang peniaga berkata saham-saham Asia mengalami penyusutan hari ini selepas para pelabur memberi reaksi terhadap tindakan Fed yang yakin terhadap ekonomi Washington apabila bertindak menaikkan kadar faedah semalam – keputusan yang sememangnya dijangkakan dan pada masa sama turut menyatakan hasrat untuk memperketatkan lagi dasar berkaitan pada Disember ini.

Di peringkat tempatan, saham di Bursa Malaysia diniagakan dalam jajaran kecil dengan aktiviti jualan bersilih ganti mengatasi belian bagi saham wajaran tinggi manakala saham minyak dan gas (O&G) terus menjadi pilihan dalam dagangan kaunter aktif hari ini, katanya.

“Bagaimanapun, kebimbangan mengenai sentimen Fed dan pertikaian perdagangan AS-China telah mengekang kenaikan,” katanya.

Di pasaran serantau, Indeks Straits Times Singapura susut 0.09 peratus kepada 3,236.26, Nikkei 225 Jepun merosot 0.99 peratus kepada 23,796.74, Indeks SSE Shanghai turun 0.54 peratus kepada 2,791.77, Indeks Hang Seng Hong Kong berkurangan 0.36 peratus kepada 27,715.67 manakala Indeks Kospi Korea Selatan sebaliknya menokok 0.70 peratus kepada 2,355.43.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung satu sen kepada RM9.79, Tenaga naik dua sen kepada RM15.52, Petronas Chemicals menokok empat sen kepada RM9.38, CIMB Group sebaliknya turun satu sen kepada RM6.03 manakala Public Bank tidak berubah pada RM25.

Bagi saham aktif, Sapura Energy, waran V.S. Industry dan Hibiscus Petroleum masing-masing susut satu sen kepada 42.5 sen, 36.5 sen dan RM1.22 sen manakala Veleskepada Energy untung setengah sen kepada 29 sen dan Orion IXL naik dua sen kepada 8.5 sen.

Indeks FBM Emas meningkat 2.59 mata kepada 12,547.15, Indeks FBMT 100 menambah 4.86 mata kepada 12,352.68 manakala Indeks FBM 70 naik 26.56 mata kepada 14,807.61.

Bagi Indeks FBM Ace pula, ia susut 8.17 mata kepada 5,244.25 manakala Indeks FBM Emas Syariah kehilangan 6.14 mata kepada 12,701.80.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 16.0 mata kepada 7,563.26, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri menokok 0.33 mata kepada 177.53 namun Indeks Kewangan merosot 3.28 mata kepada 17,813.37.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 1.42 bilion saham bernilai RM1.92 bilion daripada 1.52 bilion saham bernilai RM2.11 bilion pada Rabu.

Jumlah waran merosot kepada 299.07 juta unit bernilai RM66.82 juta daripada 315.13 juta unit bernilai RM74.44 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan turun kepada 274.41 juta unit bernilai RM67.09 juta daripada 376.66 juta unit bernilai RM114.46 juta pada Rabu.

Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 175.48 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala barangan dan perkhidmatan industri (383.92 juta), pembinaan (84.14 juta), teknologi (139.42 juta), SPAC (172,000), perkhidmatan kewangan (44.83 juta), hartanah (67.76 juta), perladangan (19.82 juta), REIT (4.59 juta), dana tertutup (3,000), tenaga (400.60 juta), penjagaan kesihatan (26.76 juta), telekomunikasi dan media (26.87 juta), pengangkutan dan logistik (14.68 juta) serta utiliti (29.96 juta). – MalaysiaGazette